Wednesday, October 27, 2010

PELANGGAN SASARAN WIDU ADVENTURE

Projek yang akan dijalankan ini akan mensasarkan beberapa kategori pelancong mengikut tujuan masing-masing.
Sasaran pertama adalah para penggemar sukan lasak. Terdapat banyak kawasan di sekitar Kampung Widu ini yang terdiri daripada batu besar dan tebing tinggi yang sesuai untuk dijadikan sebagai kawasan aktiviti rock climbing dan abseling. Kawasan sekitar yang masih tebal dengan suasana hutan dan tujuh buah gua yang menyediakan peluang kepada mereka yang berminat untuk melakukan aktiviti mengembara hutan dan berkhemah. Para penggemar hutan akan dapat menyaksikan pelbagai jenis flora dan fauna yang tidak ada di kawasan lain seperti nepenthes (periuk kera) dan juga berpeluang melihat gua. Gua yang terdapat di kawasan ini menjadi tempat perlindungan burung layang-layang dan orang kampung berpeluang mendapatkan sumber pendapatan daripada sarang burung layang-layang yang dijual. Sarang tersebut digunakan untuk tujuan ubat-ubatan.
Sasaran kedua ialah pencinta alam. Bagi mereka yang sudah bertahun-tahun hidup di kota yang penuh dengan kesibukan pasti akan mencari satu masa untuk berehat dan menenangkan fikiran. Tempat ini adalah tempat yang sesuai untuk mereka yang mahu melarikan diri daripada kesibukan kota, permasalahan atau kehidupan biasa. Kebiasaannya para pencinta alam akan mencari tempat-tempat seperti ini untuk mencapai kepuasan mereka kerana tempat seperti ini lebih dekat dengan alam, kesegaran yang belum  terusik serta flora dan fauna yang tidak ada di tempat mereka.
Sasaran ketiga ialah para penyelidik flora dan fauna. Tempat ini semestinya menjadi pilihan bagi penyelidik flora dan fauna ataupun saintis kerana masih kaya dengan pelbagai jenis flora dan fauna yang belum terganggu dan terusik. Kampung ini menyediakan kawasan yang luas bagi sasaran ini untuk menjalankan projek penyelidikan mereka.
Sasaran seterusnya ialah ahli geologi. Kawasan ini sesuai bagi ahli-ahli geologi untuk menjalankan kajian dan penyelidikan yang berkaitan dengan batu batan. Ini kerana terdapat pelbagai jenis dan bentuk batu di kawasan sungai dan air terjun yang boleh dijadikan sebagai bahan kajian.
Sasaran yang kelima adalah para pencinta sejarah atau ahli sejarah. Kajian tentang populasi penduduk dahulu boleh dijalankan di kawasan ini kerana masyarakat di sini terdiri daripada penduduk asli yang masih mengamalkan corak hidup lama selain daripada reka bentuk rumah yang diperbuat daripada bambu, berlantaikan bambu dengan tiang yang tinggi. Aktiviti pertanian yang menjadi sumber utama pendapatan dan sara hidup masyarakat di kawasan ini juga boleh dijadikan sebagai salah satu aspek yang boleh dikaji. Sejarah penduduk yang mempercayai Gantung Sorili iaitu sebuah tempayan yang besar sebagai satu kepercayaan apabila terdapat orang yang meninggal di kampung itu, roh orang tersebut dipercayai akan masuk dan mendiami tempayan tersebut.

No comments:

Post a Comment